Enam parah termasuk kanak-kanak kemalangan di Batu Gajah - Utusan Malaysia

Enam parah termasuk kanak-kanak kemalangan di Batu Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Enam individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera parah selepas mereka terlibat dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 13.5, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana di sini lewat malam semalam. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pada pukul 11 malam itu melibatkan sebuah lori, dua kereta jenis Toyota Camry dan Proton Wira serta sebuah motosikal jenis Yamaha LC135.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Camry yang dinaiki tiga lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun telah terlanggar motosikal yang ditunggang lelaki berusia 40 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kereta berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Batu Gajah menghala ke Ipoh sebelum terlanggar bahagian tepi sebelah kiri motosikal itu yang mahu masuk ke simpang Batu Gajah Perdana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Ahmad Adnan, akibat pelanggaran tersebut, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori dipandu lelaki berusia 44 tahun.

“Selepas melanggar lori, kereta berkenaan terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta Proton Wira.

“Pemandu Toyota Camry tersebut tidak mengalami kecederaan namun tiga penumpang kereta itu tidak sedarkan diri dan cedera di kaki manakala penunggang motosikal pula patah tangan kiri,” katanya.

Tambahnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan namun empat sekeluarga termasuk kanak-kanak yang menaiki Proton Wira itu cedera parah di bahagian kaki, kepala dan badan.

“Semua mereka dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini