KOTA BHARU 8 Mei – Mimpi didatangi lelaki yang lengkap berjubah putih dan berkopiah telah membuka hati Abdul Halim Voon Abdullah, 41, untuk mengenali Islam.
Abdul Halim atau nama asalnya Willin Voon berkata, bayangan mimpi itu muncul ketika dia sedang bertarung nyawa menjalani pembedahan di Hospital Tawau selepas terbabit dalam kemalangan pada 2009.
Katanya, waktu itu, dia seakan mati hidup semula apabila bekalan oksigen terputus hampir tiga saat ketika pembedahan dijalankan.
“Dalam mimpi berkenaan, lelaki yang berjubah putih serta berkopiah itu tidak berkata apa-apa. Malah ketika sedar dari mimpi, saya sudah berada di wad.
“Setelah tiga bulan mendapatkan rawatan di hospital, saya mula mencari jawapan mengenai mimpi itu dengan bertanyakan kepada bapa angkat, dan rakan beragama Islam serta ustaz untuk mendalami maksud di sebalik mimpi yang dialami,” katanya ketika ditemui di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di Kota Bharu, semalam.
Abdul Halim Voon berkata, sejak dari itu, dia mula mengenali Islam sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam pada 2016.
“Alhamdulillah, selama empat tahun saya mencari jawapan kepada mimpi berkenaan sehinggalah saya mengucap dua kalimah syahadah pada 19 Mei 2016.
“Selepas itu, saya mula mendalami dan belajar mengenai Islam di Kompleks Darul Hidayah pada 2017 selama setahun,” katanya.
Menurutnya, keputusan untuk memeluk Islam telah mendapat tentangan hebat daripada keluarga.
“Walau bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu, isteri, Masni Azura Mat Taib, 47, banyak mengajar saya tentang Islam dan mengaji al-Quran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











