RASAH 7 Mei – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga asing di Taman Dawn, Seremban pada Mac lalu.
Tertuduh, P. Vengadesvaran, 31, yang bekerja sebagai penjual ikan dan penjaga lembu dan pengurus pemasaran, R. S. Sathya Deepan, 30.
Turut dituduh, Dr. Dharma Danny Ferns, 32, dan peniaga kantin kilang, Mohd. Hafiz Abdul Kadar, 33.
Keempat-empat tertuduh mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mahyun Yusof.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh secara bersama membunuh pembantu kantin, A. Angu di kandang lembu berhampiran Jalan Dawn 1, Taman Dawn dekat Seremban.
Jenayah itu didakwa dilakukan antara pukul 9 malam hingga 10.30 malam, 16 Mac lalu.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 10 Jun depan sementara menanti laporan bedah siasat dan kimia.
Akhbar pada 29 April lalu melaporkan Angu telah diculik di rumahnya di Nilai dan dibawa ke satu kawasan di Seremban untuk disoal dan dipukul sehingga mati.
Mayat mangsa telah dibakar sebelum dibuang di tepi jalan di Jalan Bukit Putus dari arah Seremban ke Kuala Pilah.
Motif pembunuhan itu dipercayai disebabkan tuntutan hutang ke atas mangsa yang dikatakan menyeleweng wang perniagaan milik salah seorang tertuduh. – UTUSAN ONLINE











