Empat anggota sindiket curi kereta ditahan - Utusan Malaysia

Empat anggota sindiket curi kereta ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU, 27 Mei – Polis berjaya memberkas empat individu dipercayai anggota sindiket mencuri kereta pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mula aktif sejak awal bulan ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas seorang wanita membuat laporan polis berikutan kehilangan kenderaan jenis Honda HRV yang diletakkan di kawasan meletak kereta di Hospital Likas, di sini dan menjadi tular dalam media sosial.

Beliau berkata polis telah menjalankan rondaan di sekitar Kota Kinabalu sebelum ternampak kenderaan yang dipercayai hilang itu dan berjaya menahan seorang lelaki yang berada di dalam kenderaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mendedahkan empat lagi rakannya turut terlibat dalam aktiviti mencuri kenderaan itu dan polis berjaya memberkas tiga daripada mereka manakala seorang lagi masih bebas,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Menurut Omar, empat suspek yang berumur antara 32 hingga 40 tahun itu ditahan antara 19 hingga 24 Mei di sekitar Kota Kinabalu manakala seorang suspek yang dikehendaki polis dikenali sebagai Tommy, 43, dipercayai masih berada di Sabah dan orang ramai yang mempunyai maklumat suspek diminta agar menghubungi balai polis yang berdekatan.

Beliau berkata, suspek mendedahkan mencuri 11 buah kenderaan bagaimanapun polis berjaya menemukan semula lima daripada kenderaan itu termasuk tiga berada di Sarawak.

Jelasnya, sindiket itu berkemahiran menggunakan komputer untuk menggodam kenderaan yang dicuri dengan hanya mengambil masa tiga hingga empat minit bagi menghidupkan enjin kenderaan berkenaan.

“Ini merupakan kes pertama di Sabah mencuri menggunakan gajet. Suspek telah menunjukkan kepada pihak polis bagaimana modus operandi yang mereka gunakan semasa sedang mencuri kenderaan dengan menggunakan peralatan yang turut dirampas semasa tangkapan dijalankan terhadap suspek,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini