KOTA BHARU 22 Mei – Syarikat pengangkutan Ekspres Perdana memperuntukkan lebih RM10 juta bagi pembinaan dua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang dijangka beroperasi pada pertengahan tahun depan.
Pengarah Urusan Kumpulan Perdana, Laili Ismail berkata, R&R tersebut dibina di dua laluan iaitu Kota Bharu-Kuala Lumpur dan Kota Bharu-Utara yang mempunyai banyak kemudahan dan keselesaan bagi penumpang bas serta orang ramai.
Katanya, pembinaan R&R di laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur yang kini dalam pembinaan melibatkan kos sebanyak RM7 juta manakala di laluan Kota Bharu-Grik dengan kos RM3 juta.
“Kawasan ini disediakan khas untuk penumpang bas Ekspres Perdana yang dianggarkan lebih satu juta setahun serta pengguna lebuh raya lain.
“Kawasan ini dilengkapi pelbagai kemudahan, antaranya tandas, gerai makan, taman permainan kanak-kanak, stesen minyak, surau, mesin ATM dan wakaf (pondok rehat),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Perdana yang dihadiri lebih 500 jemputan melibatkan rakan strategik, penduduk sekitar, pelajar tahfiz, anak yatim dan asnaf baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Laili berkata, bagi jualan tiket bas sempena Hari Raya Aidilfitri kini dibuka kepada orang ramai dan boleh dibeli secara dalam talian serta di kaunter tiket.
Katanya, purata jualan tiket tiga hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri mencecah lebih 20,000 keping dengan kutipan lebih RM1 juta dengan melibatkan 96 buah bas yang beroperasi.
“Namun, berita gembira untuk orang ramai di mana harga tiket akan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada harga RM45.
“Tempoh diskaun surcaj ini akan bermula seminggu menjelang hari raya dan seminggu selepas raya. Selepas itu harga tiket kembali seperti biasa,” ujarnya.











