Dua sahabat dituduh edar 89.7kg kanabis - Utusan Malaysia

Dua sahabat dituduh edar 89.7kg kanabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Dua sahabat berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 89.7 kilogram (kg) pada bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Zulkhiri Awang Kechik, 31, dan Bibi Zaidaa Abu Bakar, 32, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Mohd. Zulkhiri dan Bibi Zaidaa yang masing-masing bekerja sebagai penoreh getah dan tukang masak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar kanabis seberat 89.7kg di pekarangan Balai Polis Langgar dalam daerah Kota Setar di sini kira-kira pukul 7 pagi, 24 April lalu.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh yang masih bujang itu dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mereka tidak ditawarkan sebarang jaminan dan kes akan disebut semula pada 11 Julai depan untuk mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Mat Shah sementara Mohd. Zulkhiri dan Bibi Zaidaa masing-masing diwakili peguam, G. Shanmugam dan R. Thevan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini