JOHOR BAHRU – Dua warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta jenis BMW ketika sedang menlintas jalan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi berdekatan Pasar Borong Pandan awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 61 dan 67 tahun maut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta BMW yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Kota Tinggi.
“Ketika tiba di tempat kejadian, dua mangsa terbabit secara tiba-tiba melintas jalan dari arah tengah pembahagi jalan ke seberang kiri bahu jalan.
“Akibat pelanggaran terbabit, kedua-dua mangsa telah tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Shahurinain berkata, siasatan mendapati punca kemalangan berlaku akibat daripada kedua-dua mangsa yang melintas jalan secara mengejut menyebabkan pemandu itu tidak sempat membrek dan mengelak.
“Kedua-dua mayat di bawa ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk dibedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957. – K! ONLINE











