KUALA LUMPUR 19 Mei – Dua lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati cuba menyeludup 2,420 liter minyak petrol ke Filipina di kawasan laut Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd. Pajeri Ali berkata, bot yang dinaiki lelaki berusia 29 dan 19 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.45 hingga 10.45 malam selepas didapati bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan dalam ruangan perahu tersebut telah menemukan 24 tong jerikin berisi 30 liter minyak petrol dan 6 tong jerikin berisi 25 liter minyak petrol yang disyaki hendak diseludup ke Filipina.
“Mereka berdua juga gagal menunjukkan sebarang dokumen membawa barang kawalan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Pajeri, pihaknya turut merampas dua buah bot, dua unit enjin pam dan 90 tong jerikin berisi minyak petrol dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,345.00. Tambahnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan. – UTUSAN ONLINE











