PARIS 30 Mei – Pilihan utama dan juga pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga pada kejohanan tenis Terbuka Perancis, sebentar tadi dan mengakui, hari ini menjadi hari yang cukup beremosi kerana dia beraksi buat kali pertama di depan anak lelakinya yang berusia empat tahun.
Djokovic, yang menyasarkan untuk menjadi pemain lelaki kedua merangkul kesemua empat gelaran Grand Slam dalam satu musim buat kali kedua, melayakkan diri ke pusingan seterusnya selepas menundukkan pemain Switzerland, Henri Laaksonen 6-1, 6-4, 6-3.
Menyaksikan Djokovic beraksi dari tempat duduk pemain di Gelanggang Suzanne Lenglen adalah anak lelakinya, Stefan.
“Hari ini cukup istimewa untuk saya kerana kali pertama dalam hidup, saya bermain di depan anak lelaki saya. Ia memerlukan kesabaran tinggi untuk duduk di situ selama sejam setengah. Biasanya dia tidak mempunyai kesabaran ketika menonton tenis,” kata pemain Serbia berusia 32 tahun itu.
Julai tahun lalu, Stefan turut menyertai Djokovic di gelanggang utama meraikan kejayaannya merangkul gelaran Wimbledon buat kali keempat.
Bagaimanapun, anak kecil itu tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan akhir tersebut menentang Kevin Anderson di Kelab All England kerana kanak-kanak di bawah usia lima tahun tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan berlangsung.
Djokovic bakal berdepan pemain Itali yang beraksi dalam pusingan kelayakan, Salvatore Caruso bagi merebut slot ke peringkat 16 terbaik di Paris. – AFP











