SAUDARA PENGARANG,
UTUSAN MALAYSIA pada 23 Feb 2019 melaporkan bahawa kerajaan bersetuju menurunkan kadar levi bagi pekerja asing yang bekerja melebihi 10 tahun, dari RM10,000 kepada RM6,000, berkuatkuasa dari 1 Mac 2019 hingga 29 Februari 2020. Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ini bagi meringankan beban majikan.
Namun, amat mengecewakan apabila penurunan kadar levi yang dijanjikan kerajaan itu tidak berlaku. Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC) telah menerima aduan daripada ahli bahawa kadar levi yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen tetap RM10,000.
Notis yang ditampal di Jabatan Imigresen jelas menunjukkan kadar levi yang dikenakan ialah RM10,000. Begitu juga dengan resit bayaran levi yang dikemukakan oleh ahli sebagai bukti.
Bagi mendapatkan penjelasan, MACC telah menghantar e-mel kepada Pegawai Perhubungan, Kementerian Kewangan Malaysia. Jawapan yang diterima ialah perkara ini di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen.
Persoalannya, bukankah kenyataan Kementerian Kewangan memberitahu penurunan kadar levi telah dipersetujui oleh Kabinet?
Walaupun Jabatan Imigresen terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, sepatutnya arahan penurunan kadar levi ini dipatuhi. Apakah Jabatan Imigresen lebih berkuasa daripada Kabinet?
Harapan yang diletakkan kepada kerajaan Pakatan Harapan, yang berjanji untuk mengurangkan beban majikan, hancur berkecai apabila kakitangan awam seolah-olah lebih berkuasa daripada kerajaan.
Kami amat mengharapkan supaya kadar levi pekerja asing ini diturunkan seperti mana yang dijanjikan.
NORUDDIN IDRIS
Presiden MACC











