LANGKAHNYA sering menjadi perhatian dan lagu-lagunya juga kerap mendapat sambutan menjadikan Ismail Izzani bin Zainal Nazeri atau nama popular, Ismail Izzani, 19, idola ramai anak muda seusia dengannya.
Sentiasa mahu memaparkan yang terbaik untuk dijadikan contoh kepada peminat, Ismail Izzani bagaimanapun mengakui bahawa dia juga tidak terlepas daripada serangan ‘pembenci’ yang tidak menggemari tindak tanduknya dalam industri ini.
Enggan memandang serius hal itu, penyanyi lagu Luar Biasa ini beranggapan bahawa mereka yang berterusan melahirkan kebencian terhadapnya adalah orang yang memerlukan perhatian dan cuba meraihnya dengan melemparkan kata-kata yang tidak sopan.
“Saya juga manusia biasa, sukar untuk saya memuaskan hati semua pihak. Saya juga tidak punya kuasa untuk buat semua orang sukakan saya, jadi biarkanlah mereka nak kata apa.
“Sebenarnya tak susah nak uruskan mereka ni, kita cuma perlu diamkan sahaja. Jangan layan komen mereka. Pada saya kalau kita layan, makin mereka suka. Jadi bila saya baca komen-komen mereka, saya diamkan sahaja.
“Daripada saya fikir pasal mereka lebih baik fikir tentang diri sendiri dan keluarga,” jelas Ismail Izzani yang juga merupakan duta Kempen Setulus Ikhlas TV3 sepanjang Ramadan ini.
Bercerita soal Ramadan, menurut anak kepada penyanyi era 80-an, Suliza Salam ini, dia terpaksa memperlahankan aktiviti nyanyian kerana mahu fokus kepada perniagaan busana Melayu lelaki yang diusahakan bersama rakan baiknya.
“Sepanjang bulan ini saya memang perlahankan aktiviti nyanyian sebab mahu fokus pada perniagaan baju Melayu dan kurta. Perniagaan ini sudah hampir dua tahun. Jika tahun lepas kami hanya menjual kurta tetapi tahun ini kami variasikan lagi dengan menjual baju Melayu.
“Sambutan tahun lepas memang menggalakkan dan untuk tahun ini kami akan ke bazar-bazar serata Malaysia untuk menjualnya secara terus kepada pelanggan,” kata Ismail Izzani yang memperkenalkan jenama pakaiannya itu sebagai Qulai.
Mengenangkan lagu-lagu yang pantas menerima tempat dalam hati peminat, dia sebenarnya berasa gentar dengan perkara itu.
Bimbang dengan impak yang harus diterima jika kehadiran lagu baharunya nanti kurang mendapat sambutan, Ismail Izzani bagaimanapun tidak meletakkan sebarang kayu pengukur untuk setiap lagu yang dihasilkannya.
“Apabila lagu mudah mendapat tempat, ia sebenarnya mengundang rasa takut. Saya rasa mungkin semua penyanyi akan berasa begini bila berdepan dengan situasi itu.
“Apabila lagu sebelum ini mendapat sambutan, kita jadi takut untuk hadapi risiko bagi lagu-lagu berikutnya sama ada akan dapat penerimaan yang sama atau tidak.
“Namun untuk hit atau tidak ia sebenarnya bergantung pada rezeki. Apa yang saya lakukan adalah berkongsi muzik yang saya gemari semua orang. Hendak hasilkan lagu sedap didengar, jangan ikut rentak orang lain tapi percaya pada minat sendiri.
“Jika lagu itu dihasilkan dengan penuh kasih sayang, saya percaya ia akan diterima peminat dan kita sendiri pun akan sayang lagu itu sampai bila-bila,” jelasnya yang akan keluar dengan single terbaharu bersama pelawak, Zizan Razak tidak lama lagi.











