AMPANG JAYA – Tindakan dua wanita sedang melekatkan dadah jenis syabu pada badan mereka dengan bantuan seorang lelaki terbantut selepas pihak polis menyerbu sebuah hotel di Pandan Indah di sini semalam.
Serbuan pukul 12.01 tengah malam itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor susulan risikan selama dua bulan.
Hasil pemeriksaan polis ke atas dua wanita tempatan berusia 31 dan 26 tahun itu mendapati 20 peket plastik berisi 5.1 kilogram syabu dilekatkan pada seluruh anggota badan termasuk ke dalam coli menggunakan pita pelekat.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati dua wanita tempatan itu sedang bersiap untuk ke Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur bagi berlepas ke Busan, Korea Selatan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, ini merupakan kali keempat suspek berusia 31 tahun itu menjadi keldai dadah dengan membawa keluar barang terlarang itu ke negara luar.
“Kesemua tiga-tiga suspek tidak mengenali satu sama lain dan kita percaya suspek lelaki berusia 21 tahun itu merupakan ahli sindiket yang datang membantu suspek untuk berlepas ke luar negara.
“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi, wang tunai RM2,000 serta matawang Korea 550,000 won (RM1,932),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, hasil risikan mendapati setiap suspek mendapati wang pendahuluan sebanyak RM1,000 sebelum berlepas dan RM15,000 sebaik pulang semula ke tanah air.“Upah yang lumayan membuat generasi muda terjebak sebagai keldai dadah malah mereka menerima tawaran itu melalui media sosial.
“Kesemua suspek itu direman sehingga 18 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE











