YAN – Seorang penganggur yang ditahan kerana disyaki mendera anak tirinya berusia dua tahun sehingga mati didapati positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau.
Ibu kandung kepada mangsa, Muhammad Aqil Hairi Mohd. Azrul Epindi yang ditahan bagi membantu siasatan turut didapati positif dadah jenis sama.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit di Mahkamah Majistret Yan di sini hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, kedua-dua suspek positif methamphetamine selain suspek lelaki mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang curi dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Dalam pada itu, tinjauan ke rumah keluarga mangsa di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak di sini hari ini mendapati rumah tidak berpenghuni dan berkunci.
Bapa saudara kepada suspek lelaki, Yusuf Kassim, 70, yang tinggal di rumah bersebelahan berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia.
“Saya tidak menyangka mangsa menjadi mangsa dera kerana semasa saya nampak kanak-kanak itu kira-kira tiga hari sebelum kejadian, dia kelihatan sihat,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes kanak-kanak lelaki, Muhammad Aqil Hairi, 2, yang mati akibat didera dalam kejadian di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak pada Sabtu lalu. – K! ONLINE










