KUALA LUMPUR 19 Mei – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan melawat ke Pusat Penyisihan Sayur Konsortium Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam bagi melihat sendiri cara-cara peniaga mengasingkan sayur-sayuran.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan itu juga bagi meninjau persekitaran infrastruktur di kawasan pusat tersebut.
Nor Hisham turut diberi penerangan secara ringkas oleh pegawai DBKL mengenai peranan, misi dan visi projek ini pada masa akan datang.
“Beliau juga dibawa melawat ke Pusat Tong Roro yang mengumpul sisa sayur-sayuran yang akan diproses oleh Syarikat Betsol Sdn. Bhd untuk dijadikan baja kompos dan makanan haiwan atau serangga,” katanya.
Tambahnya, bermula dari 1 April hingga 15 Mei lalu iaitu selama 45 hari, jumlah kutipan sisa sayur adalah sebanyak 30 tan bersamaan 30,000 kilogram (kg).
“Kutipan ini dibuat tiga kali seminggu pada Isnin, Khamis, dan Sabtu di sekitar pasar borong dan pasaraya.
“Penyisihan ini hampir mencapai kejayaan dengan nisbah 95 peratus sisa tidak bercampur dengan bahan-bahan yang tidak sepatutnya seperti tali, kertas, getah, botol dan plastik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











