D. Shahriman mahu jejaki KJ - Utusan Malaysia

D. Shahriman mahu jejaki KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Mei – Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin bakal mencatat sejarah sebagai pemimpin persatuan sukan pertama menjadi atlet lumba bot tradisional (TBR) negara ke Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

Megat D. Shahriman Zaharudin
Megat D. Shahriman Zaharudin 

Penampilannya akan mengikut jejak dan tradisi yang dimulakan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menganggotai skuad pemenang pingat emas polo Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya ingin menyumbang kepada negara bukan sahaja dalam persatuan sukan tetapi juga sebagai anggota pasukan kebangsaan. Saya mahu tahu dan merasai titik peluh sendiri menjadi atlet negara seperti Khairy dulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya akan masuk tiga acara (12 pendayung 200m lelaki, 22 pendayung 200 dan 500m campuran). Sumbangan saya ini mungkin hanya minimum tetapi mampu memberikan impak besar dan mampu menjadi contoh kepada presiden persatuan sukan kebangsaan lain dalam menabur bakti kepada negara,” katanya.

Terdahulu beliau meraikan kira-kira 20 anak yatim dari Rumah Pernim, Klang, Selangor dalam majlis berbuka puasa Masca di Rumah Kelab Masca, Kompleks Sukan Negara, Bukit Kiara di sini, semalam.

Malaysia akan menyertai lima daripada enam acara TBR Sukan SEA 2019 yang dipertandingkan di Kamana Resort, Subic iaitu empat pendayung 500 meter, 12 pendayung 200m (lelaki), empat pendayung 200m (wanita), 22 pendayung 200 dan 500m (campuran).

“Pengalaman ini akan jadi cukup bernilai malah saya sanggup kuruskan badan, berlatih bersama pasukan dan bercuti daripada perniagaan saya sehingga November ini.

“Saya mahu utamakan sukan dahulu, sudah habis Sukan SEA, baru akan kembali kepada perniagaan.

“Atlet-atlet TBR lain terlatih dan profesional jadi saya tidak rasa tertekan, kalau jadi pendayung simpanan pun tidak mengapa,” katanya yang mengambil alih teraju Masca sejak November tahun lalu.

Mengenai skuad kanu dan TBR negara katanya, satu sirkit kebangsaan dan ujian pemilihan kedua akan diadakan 6 Julai ini di Teluk Bahang, Pulau Pinang bagi memuktamadkan atlet-atlet yang layak ke Sukan SEA.

Timbalan Presiden Masca, Datuk Michael Wong berkata, skuad negara akan mendapat khidmat Lu Chanshong dari China sebagai Pengarah Teknikal TBR Malaysia yang berpengalaman melatih pasukan negaranya dan meraih tiga pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010.

“Saya akan ke Guangzhou esok untuk memeterai MOU (perjanjian persefahaman) dengan badan induk sukan China kerana khabarnya ada negara lain yang turut melobi khidmatnya. Jadi kita kena cepat dapatkan tandatangannya.

“Dia akan menyediakan pasukan TBR kita mulai Sukan SEA 2019 hingga Sukan Asia Hangzhou 2022. Baru-baru ini, dia hadir di negara ini untuk membimbing Johor sehingga meraih tiga pingat emas sebuah kejohanan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini