SABAK BERNAM 26 Mei – Bukan satu, sebaliknya dua nyawa yang melayang dalam kemalangan maut yang meragut nyawa seorang pelajar tingkatan empat dekat Taman Bedana Jaya, malam semalam.
Namun, mayat seorang lagi mangsa kemalangan yang terpelanting ke dalam semak hanya ditemukan lebih 12 jam selepas insiden yang membunuh Mohamad Amrey Ismail, 16.
Mayat Mohammad Ali Saber Ahmad, 26, seorang warga Myanmar ditemukan seorang pekerja pemotong rumput dalam keadaan tertiarap kira-kira 50 meter dari lokasi mayat Mohamad Amrey.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, mangsa juga dipercayai membonceng motosikal dengan Mohamad Amrey.
“Keadaan di lokasi kemalangan malam semalam gelap dan semak juga agak tinggi menyebabkan tiada saksi yang sedar sebenarnya ada seorang lagi mangsa yang terbunuh.
“Mangsa kedua ini ditemukan kira-kira pukul 9 pagi tadi dan identitinya dikenal pasti melalui kad UNHCR miliknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Chee Khoon, mayat mangsa sudah pun dibawakan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam semalam, Mohamad Amrey maut dilokasi kejadian selepas bertembung dan diseret kereta dipandu seorang lelaki sejauh 70 meter. – UTUSAN ONLINE











