Bonus RM450 ikut prestasi penjawat awam - Utusan Malaysia

Bonus RM450 ikut prestasi penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mei – Pemberian bonus sebanyak RM450 bagi penjawat awam dari gred 56 ke bawah adalah tertakluk kepada pertimbangan prestasi golongan itu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, bagaimanapun kadar itu masih berpatutan dan nilainya tidak jatuh teruk.

Katanya, beliau yakin bahawa PH mempertimbangkan pemberian bonus tersebut berdasarkan pencapaian semasa penjawat awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua faktor pemberian bonus. Pertama, bonus untuk memberi motivasi kepada kakitangan kerajaan menjalankan kerja lebih baik dan supaya lebih lancar pada masa depan. Kedua, ia memberi pengesahan bahawa penjawat awam telah bekerja dengan kuat dan baik.

“Jika dua-dua faktor itu dipersetujui, memanglah kerajaan perlu beri bonus berpatutan. Mesti beri bonus yang berpatutan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk memberikan bantuan khas sebanyak RM450 seorang kepada hampir 1.5 juta penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, bantuan khas itu juga akan turut dinikmati hampir 0.8 juta pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM225 seorang.

Pemberian itu adalah di bawah peruntukan kewangan sebanyak RM855 juta sempena bantuan khas bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini