KUALA LUMPUR 20 Mei – Orang ramai dijemput menyertai acara Larian Amal Kuala Selangor 2019 di padang terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor pada 29 Jun ini.
Program anjuran Persatuan Alumni SMKA Kuala Selangor dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor itu diadakan sempena Karnival Jubli Perak sekolah tersebut yang disambut tahun ini.
Acara larian menampilkan keunikan tersendiri apabila peserta bakal menikmati laluan larian berlatarkan suasana kampung, sawah bendang serta merentasi jambatan utama di daerah tersebut.
Terdapat lima kategori dipertandingkan membabitkan kategori terbuka individu lelaki dan wanita bagi jarak tujuh, lima dan tiga kilometer (km), manakala, kategori khas bagi pelajar sekolah menengah dari usia 13 hingga 18 tahun sejauh lima km serta larian santai tiga km membabitkan penyertaan sekeluarga.
Yuran sebanyak RM45 dikenakan kepada peserta bagi kategori terbuka tujuh km, RM40 dan RM35 masing-masing bagi lima km dan tiga km. Pelajar sekolah (RM25) serta pakej keluarga termasuk dua dewasa dan dua kanak-kanak (RM95).
Setiap pendaftaran akan memperoleh baju T, nombor penyertaan, beg sandang, sarapan, pingat bagi pemenang pertama hingga ketiga untuk setiap kategori dan peluang memenangi cabutan bertuah.
Pendaftaran boleh dibuat di http://jubliperaksmkaks.com/borang-penyertaan-rabitah-fun-run-2019/ atau https://bit.ly/2ITQrS3. -UTUSAN ONLINE











