Beri taikun Melayu pulihkan Felda - Utusan Malaysia

Beri taikun Melayu pulihkan Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI 2009 hingga 2016, pengerusi Felda dan FGV adalah individu yang sama. Ini meniadakan aspek semak dan imbang di dalam kedua-dua organisasi.

Penganalisis industri berpendapat keadaan itu juga mengakibatkan Felda menanggung masalah kewangan teruk, hutang bertimbun selain hasil rendah pelaburan kesan daripada keputusan buruk.

Dari 2017 hingga 2019, pengerusi FGV membuat keputusan untuk melaksanakan strategi yang begitu kontroversi termasuk memisahkan FGV daripada Felda, dan dikritik kerana anggota pengurusan syarikat dan Lembaga Pengarah FGV terdiri daripada orang yang rapat dengannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi dan Lembaga Pengarah FGV dikatakan tidak melakukan semakan semula ke atas Perjanjian Pajakan Tanah (LLLA) walaupun terma-terma dan syarat LLA tidak adil kepada Felda.

Apa yang berlaku kepada Felda ketika itu, dalam bahasa mudah ialah orang yang menjadi peneraju organisasi tidak menguruskan syarikat seperti sepatutnya iaitu meraih seberapa tinggi pulangan untuk pemegang sahamnya.

Dalam konteks ini, jelas Felda dan FGV hendaklah diurus dan dikawal selia oleh entiti atau individu yang memiliki aset kukuh, nilai-nilai dan pengalaman yang teguh, dan tentunya disokong oleh kerajaan. Hanya dengan ini boleh mengelak berulangnya kisah individu menguasai Felda dan FGV tanpa sesiapa berani menegur.

Model perniagaan

Model semasa iaitu pemisahan Felda dan FGV ternyata tidak cekap dan terbukti gagal sejak tujuh tahun lalu.

Pengerusi, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Felda dan FGV adalah terdiri daripada individu yang sarat dengan latar belakang korporat tetapi kosong pengalaman dalam industri perladangan.

Berdasarkan Kertas Putih Felda yang dibentang pada 10 April lalu, kaedah penyelesaian seperti penyusunan semula pinjaman dan menampung pelaburan hanyalah kaedah pantas dan berjangka pendek. Ia bukan penyelesaian sebenar untuk pengurusan ladang dan membantu mengatasi masalah para peneroka.

Dari aspek inilah, disarankan agar Felda kembali menggunakan model perniagaan asal Felda yang telah terbukti berjaya dilaksanakan oleh pasukan pengurusan terdahulu iaitu dari 1990-an hingga 2011.

Mereka ini memiliki pengalaman dan mencapai kejayaan di dalam industri perladangan selain mengguna pakai teknologi pintar pertanian bagi menambah baik kecekapan dan hasil pulangan.

Model baharu

Mungkin dalam model perniagaan baharu kelak, Felda boleh menumpukan kepada aktiviti huluan dan FGV pula aktiviti hiliran dan midstream seperti mempromosi ‘Minyak Sawit Malaysia’ atau ‘Industri dibangun di dalam negara’.

Penyelarasan operasi mengikut teras kemahiran Felda dan FGV akan menghasilkan sinergi, penambahbaikan keseluruhan dari segi kecekapan dan penjimatan kos menerusi penyusunan semula warga kerja di kedua-dua entiti akan mengurangkan kos pentadbiran kepada separuh daripada kos semasa RM1.9 bilion.

Peranan kerajaan

Dengan peruntukan RM6.23 bilion, apakah ia memadai untuk menyelesaikan krisis kewangan Felda? Ada yang mengatakan dana itu akan habis dalam dua tahun sahaja. Kenapa? Kerana model perniagaan semasa Felda tidak mampu menjana RM800 juta setahun bagi mengekalkan operasi perniagaannya.

Maka itu, antara cadangan yang dikemukakan dan wajar dipertimbangkan ialah supaya kerajaan membenarkan rakan strategik daripada sektor swasta untuk membantu.

Kriteria utama ialah individu atau entiti berkenaan hendaklah bumiputera, suka rela dan paling penting, mempunyai kemampuan dan kekuatan wang untuk membantu kerajaan memulihkan Felda.

Ada ramai sebenarnya taikun atau tokoh korporat terkemuka Melayu yang boleh diminta membantu. Mungkin ada yang berminat tetapi tidak mahu bersuara kerana ‘takut dilabel itu ini’ dalam era Malaysia Baharu ini.

Jadi kerajaan kena hulurkan tangan. Tanyalah sudi atau tidak mereka membantu Felda?

Tanyalah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary atau Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah atau Tan Sri Syed Azman Ibrahim atau Tan Sri Azman Hashim. Siapa tahu mungkin Datuk Kamaruddin Meranun berminat, walaupun sektor penerbangan sendiri ada cabarannya.

Ini kerana kita percaya taikun dan jutawan Melayu yang disebut secara rambang di atas ini, pun memahami kepentingan institusi Felda kepada kemajuan bangsa dan negara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini