SHAH ALAM 22 Mei – Bendera negeri Selangor dikibarkan separuh tiang hari ini dan esok sebagai tanda menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan agar bendera negeri Selangor dikibarkan separuh tiang.
“Merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat negeri Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Menjunjung titah Sultan Selangor yang berkenan agar bendera negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan hari esok sebagai tanda menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Semoga roh Almarhum mendapat husnul khatimah, dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” kata Menteri Besar dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











