Bekas TNC Unisza dilantik Naib Canselor Unimap - Utusan Malaysia

Bekas TNC Unisza dilantik Naib Canselor Unimap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 15 Mei – Bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang baharu bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal yang tamat tempoh pelantikannya pada semalam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Unimap hari ini menyatakan bahawa pelantikan R. Badlisah, 49, adalah ibarat sireh pulang ke gagang memandangkan beliau sebelum ini merupakan antara tenaga kerja pertama yang menyertai Unimap di awal penubuhannya iaitu sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan.

Kata kenyataan itu, R. Badlishah yang juga merupakan Naib Canselor ketiga Unimap sejak penubuhan universiti itu dilantik untuk tempoh tiga tahun mulai 15 Mei sehingga 14 Mei 2022.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelantikan beliau adalah menerusi surat daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maslee Malik, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12 (1) Perlembagaan Unimap,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, beliau percaya dengan kelayakan cemerlang dan pengalaman luas R. Badlishah dalam bidang kejuruteraan dan pentadbiran universiti sebelum ini, akan dapat memacu kegemilangan Unimap ke tahap yang lebih tinggi.

“Unimap berbangga kerana dapat terus melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa seperti beliau (R. Badlishah) dan adalah menjadi harapan agar Naib Canselor yang baharu ini dapat menggunakan semua kepakaran dimiliki untuk mentadbir universiti.

“Pada masa sama, pihak kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zul Azhar yang banyak menyumbang kepada kejayaan Unimap terutama apabila memperoleh penarafan Quacquarelli Symonds (QS) – Lima Bintang bagi Audit QS Stars untuk tempoh 2019-2021.

“Selain itu, Unimap juga disenaraikan dalam 500 universiti terbaik menerusi QS World University Ranking by Subject bagi bidang Kejuruteraan dan Teknologi 2017,” ujar beliau.

Sementara itu, Zul Azhar turut mengucapkan tahniah kepada R. Badlishah dan menyeru semua warga kerja Unimap untuk memberi sokongan serta kerjasama kepada Naib Canselor yang baharu ini bagi memastikan universiti kekal cemerlang.

“Sebagai individu yang menjadi kelompok pentadbiran awal di Unimap, saya merasakan beliau (R. Badlishah) tidak kekok untuk meneruskan legasi pentadbiran di universiti ini dan pastinya akan menerima kerjasama yang baik dari seluruh warga universiti.

“Saya juga yakin, dengan latar belakang beliau dalam bidang Kejuruteraan Komputer akan memberi manfaat besar terhadap Pelan Strategik Unimap 2025 yang sebahagian besarnya adalah berteraskan teknologi dan rangkaian komputer,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Infografik Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad

Pengalaman: 
* Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sultan Zainal Abidin.
* Profesor dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan Unimap.
* Pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Akademik:
* Doktor falsafah (PhD) dan Sarjana (M.Sc) dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di University of Strathclyde.
* Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di University of Glasgow.
* Diploma Kejuruteraan Elektrik (Perhubungan) di Universiti Teknologi Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini