KOTA BHARU – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ahmad Jazlan Yaakob mengakui kecewa dengan situasi yang membelenggu The Red Warriors (TRW) ketika ini.
Ahmad Jazlan menyifatkan segala usaha yang dilakukan beliau bersama Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Mohammed Nordin Awang dan rakan-rakan untuk memulihkan semula maruah bola sepak Kelantan bermula tahun 2004 hingga 2007 itu ‘hancur berkecai’.
Ahmad Jazlan berkata, beliau dan rakan-rakan adalah kumpulan yang bertanggungjawab melakukan perubahan secara ‘total’ dalam KAFA selepas melihat era kejatuhan Kelantan
sehingga terpaksa beraksi dalam saingan Piala FAM satu ketika dahulu.
Menurutnya, selepas berjaya melakukan transformasi sehingga Kelantan kembali ke saingan Liga Perdana dan seterusnya mara ke saingan tertinggi (Liga Super) sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan KAFA kepada Tan Sri Annuar Musa.
“Beliau (Annuar) adalah sebahagian daripada orang yang bertanggungjawab membawa Kelantan meniti ke satu zaman kegemilangan cukup luar biasa.
“Perkara ini telah terpahat dan menjadi sebahagian daripada perjalanan sejarah KAFA,” katanya selepas diminta mengulas mengenai masa depan bola sepak Kelantan.
Terdahulu, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan meluangkan masa beramah mesra dengan pengamal media di sini malam tadi.
Ahmad Jazlan memberitahu, berpandukan kepada situasi semasa ketika ini tidak mustahil Kelantan akan terjerumus semula ke saingan Liga M3 musim depan.
Katanya, beliau mahu KAFA mengambil langkah drastik untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan daripada tersingkir ke Liga M3.
Di bawah pentadbiran Annuar Musa selama 10 tahun bermula 2007, Kelantan telah mengecapi zaman kegemilangan dengan merangkul semua piala yang dipertandingkan dan beraksi di peringkat Asia sehingga ke suku akhir.
Bagaimanapun, selepas hampir 10 tahun meniti kegemilangan, Kelantan berdepan zaman kejatuhan, dan tersungkur ke Liga Perdana musim ini adalah kemuncak mimpi ngeri mereka.
Annuar meletak jawatan Presiden pada September 2017 dan dalam kongres persatuan itu, Bibi Ramjani yang tidak mempunyai latar belakang bola sepak muncul peneraju baharu.
Dalam tempoh tidak sampai dua tahun TRW telah mempunyai empat jurulatih, bermula dengan Satih Bensoh; Fajer Ibrahim; Yusri Che Lah dan Marko Kraljevic namun prestasi TRW tetap merudum.
Selepas mengharungi 14 perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga tercorot Liga Premier dengan mengumpul sembilan mata. – K! ONLINE











