Bekalan sayur, kelapa untuk Aidilfitri di Melaka mencukupi - Utusan Malaysia

Bekalan sayur, kelapa untuk Aidilfitri di Melaka mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 28 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka memberi jaminan bekalan sayur-sayuran dan kelapa untuk kegunaan penduduk negeri ini mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan berkata, pihaknya menerima laporan bahawa bagi bekalan kelapa, sebanyak 150,000 biji kelapa diperlukan untuk sambutan hari raya ini dan jumlah itu mencukupi.

Bagi sayur-sayuran pula, katanya, bekalan tersebut diterima daripada pembekal tempatan serta dari Cameron Highlands dan Tangkak, Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bekalan kelapa pula, FAMA menerima jumlah yang cukup daripada pembekal sedia ada malah pusat pengumpulan kelapa import dari Indonesia kita di Batu Pahat, Johor boleh diperolehi bila-bila masa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Bazar Aidilfitri Industri Asas Tani anjuran FAMA Melaka oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee di AEON Bandaraya di sini sebentar tadi.

Bekalan sayur khususnya kubis, cili dan lobak untuk pengguna negeri ini terpaksa diimport dari Indonesia dan China namun bagi Che Samudin, masalah kekurangan bekalan dijangka tidak akan berlaku untuk pengguna di Melaka tahun ini.

Sementara itu, Norhizam dalam sidang akhbar yang sama berkata, kerajaan negeri yakin nilai jualan RM350,000 yang disasarkan FAMA sepanjang berlangsung Bazar Aidilfitri itu mampu dicapai.

Menurutnya, ini kerana sejak dibuka pada 6 Mei lalu, lebih RM200,000 nilai jualan dicatatkan sehingga hari ini.

“Kerajaan negeri juga akan berikhtiar selepas hari raya ini untuk membawa produk-produk industri asas tani para pengusaha tempatan dapat dijual di pasar raya dan pusat beli-belah utama negeri ini,” katanya.

Bazar Aidilfitri anjuran FAMA Melaka beroperasi di AEON Bandaraya di sini melibatkan penyertaan 19 usahawan di 24 lot gerai, mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam sehingga 4 Jun depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini