KUALA LUMPUR 12 Mei – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengesahkan bekalan air yang terjejas di Klang, Selangor pulih pada tahap 99 peratus pada pukul 12 tengah hari ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya giat melaksanakan proses meningkatkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi menstabilkan aliran bekalan di sistem itu.
“Pemantauan dan tindakan di lapangan terus dijalankan dan pihak kami juga masih menyediakan bantuan lori-lori tangki air untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berikutan itu, katanya, hanya satu Pusat Khidmat Setempat masih diaktifkan iaitu di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas untuk memberi bantuan ke tiga kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya iaitu di Bandar Putra 2 & Parkland dan Taman Sentosa.
Tambahnya, kerjasama penduduk untuk tidak membuat simpanan bekalan melebihi penggunaan amatlah dihargai bagi membantu kelancaran proses pemulihan ini. – UTUSAN ONLINE











