KUALA LUMPUR 2 Mei – Bank Islam Malaysia Berhad optimis empat juta pendeposit yang direkodkan bakal memanfaatkan kemudahan tambahan pembayaran Zakat Akaun Simpanan dan Pelaburan kepada Agensi Mengurus Zakat (AMZ).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, para pelanggan boleh memilih untuk mewakilkan Bank Islam bagi menguruskan pembayaran zakat ke atas akaun simpanan dan pelaburan mereka dengan mengisi borang yang disediakan di semua cawangan Bank Islam.
Katanya, antara akaun Bank Islam yang diambil kira bagi kemudahan baharu ini ialah Akaun Simpanan dan Semasa (Qard dan Asas Qard), Akaun Pelaburan (Al-Awfar, Wafiyah dan iGain) dan Akaun Deposit Bertempoh-i (Tawarruq).
“Sekiranya pelanggan memiliki lebih daripada satu akaun, kesemua jumlah wang di dalam akaun-akaun tersebut akan digabungkan untuk pembayaran zakat simpanan dan pelaburan bagi tahun taksiran semasa.
“Bagi Akaun Amanah (Trust Account) pula, ia akan digabungkan mengikut nama pemegang utama akaun, perkhidmatan ini tidak ditawarkan bagi jenis Akaun Bersama (Joint Account),” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Kemudahan Pembayaran Zakat di sini hari ini.
Antara AMZ yang menyertai kemudahan ini adalah Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Mengenai kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 7 Mei ini, beliau melihat lebih banyak peluang perniagaan dalam segmen perbankan pengguna dan ia sangat baik serta memacu pertumbuhan pelaburan.
“Tujuan biasa monetari polisi yang dilakukan BNM adalah untuk mengembangkan lagi ekonomi.
“Jadi sebagai sebuah bank yang banyak terbabit dengan perbankan pengguna, apabila terdapat lebih perbelanjaan dan pelaburan, sudah pasti lebih banyak peluang perniagaan yang akan muncul,” katanya.
Buat masa ini segmen pengguna mewakili 60 peratus daripada jumlah aset Bank Islam.











