ANTARA amalan menjadi tumpuan sepanjang Ramadan adalah bersedekah. Ada yang lakukannya melalui sumbangan wang ringgit dan ada juga dengan menyediakan barangan tertentu untuk keperluan berbuka atau bersahur.
Ini sejajar dengan sebuah saranan Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan pada bulan Ramadan.” – Riwayat Bukhari
Berasaskan semangat tersebut, individu dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) telah tampil menyemarakkan lagi amalan tersebut sempena bulan mulia itu.
Antaranya seperti dilakukan oleh Yayasan Antarabangsa al-Madinah melalui penganjuran Program Bantuan Bakul Makanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Program yang mendapat kerjasama Fakulti Pengajian Islam UKM dan NGO dari Eropah, Yayasan Hasene itu berjaya mengumpul lebih 2,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada asnaf dan golongan memerlukan di negara ini.
“Ramadan tahun ini kami bersama Yayasan Antarabangsa Hasene mengagihkan bakul makanan kepada asnaf yang telah dikenalpasti di Selangor, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pahang,” kata Pengurus Besar Yayasan Antarabangsa al-Madinah, Datuk Dr. Bahrudin Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 200 bakul makanan kepada warga UKM dan asnaf dari kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor.
Yang turut hadir, wakil Yayasan Antarabangsa Hasene, Abdul Ikerim Tutal.
Program yang memasuki tahun kelima itu disifatkan mencapai sasaran penerima sumbangan, bahkan melibatkan kerjasama pelbagai syarikat korporat dan NGO serta persatuan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Menyentuh peranan yayasan tersebut, Bahrudin memberitahu, pihaknya telah menjalankan misi bantuan kepada lebih ribuan asnaf seluruh negara tahun lalu.
Tambahnya, antara golongan asnaf yang menjadi tumpuan yayasan termasuk keluarga miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal, mualaf, penerima uzur, dan lain-lain.
“Bagi menambah dana bantuan, kami akan cuba pelbagai cara untuk menanamkan kepercayaan kalangan penderma. Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Yayasan Antarabangsa al-Madinah boleh layari laman web rasmi iaitu www.mif.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE











