MELAKA 19 Mei – Hotel Avillion Legacy meraikan sebanyak 50 kanak-kanak dan guru dari empat buah sekolah di negeri ini dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel tersebut di Jalan Hang Tuah di sini malam ini.
Program kemasyarakatan itu merupakan kali ke-14 dianjurkan untuk menceriakan kanak-kanak dan pelajar kurang berkemampuan berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang bersekolah di empat sekolah tersebut.
Mereka adalah murid dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Lereh; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, SMK Klebang Besar dan SMK Bukit Rambai.
Pengurus Besar Avillion Legacy Melaka, Low Kee Nam berkata, majlis berbuka puasa ini merupakan antara salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disediakan dalam kalendar tahunan pihaknya.

“Pada majlis ini, sementara menunggu majlis berbuka puasa, pelbagai acara disediakan antaranya persembahan anak-anak yaim, acara sukaneka dalaman, kuiz serta penyampaian sumbangan dan duit raya kepada semua anak yatim.
“Sepanjang Ramadan ini juga pihak hotel menyediakan bufet Ramadan bermula pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam dengan bayaran RM65 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pada majlis itu malam ini. – UTUSAN ONLINE











