AS, Vietnam dulu musuh, kini sahabat - Utusan Malaysia

AS, Vietnam dulu musuh, kini sahabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika apabila terdapat seseorang pemuda yang penampilan diri dan pakaiannya kusut masai, ia secara bergurau dipanggil Vietcong, pejuang kebebasan Vietnam. Penyifatan begitu wujud kerana setiap hari akhbar dan TV menyiarkan imej Vietcong beraksi, menyerang atau diserang, malah terkorban.

Semua pejuang Vietcong lebih kurang sama saja: comot dan rambut kusut masai. Waktu itu berlaku Perang Vietnam antara Vietnam Selatan yang bukan komunis dan disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dengan Vietnam Utara yang disokong oleh Soviet Rusia dan China yang berideologi komunis.

Apa yang membezakan antara dua pihak itu ialah cara sokongan dilakukan. Sokongan AS di selatan dibuat secara terbuka dengan askar AS sendiri turut berperang sedangkan di utara, sokongan Soviet dan China dilakukan melalui bekalan senjata dan segala yang diperlukan untuk maksud peperangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Secara terbuka, askar kerajaan Vietnam Utara jelas bertindak sedangkan askar Vietcong yang disifatkan askar gerila bertindak sendiri-sendiri tetapi sebenarnya berganding bahu. Antara cetusan awal peperangan ialah adanya peristiwa membakar diri di tengah khalayak ramai oleh sami Buddha, satu protes terhadap kegilaan politik semasa.

Pada suatu masa kita di Malaysia mendapat tahu ramai pegawai dan kakitangan askar Vietnam Selatan berlatih di Malaysia tentang cara terbaik membanteras pengganas komunis. Ini kerana Malaysia, sebelumnya Malaya, telah meranapkan perjuangan komunis setelah 12 tahun bertindak (1948-1960).

Pada 1968, dalam keadaan amat cemas, satu pasukan AS menggempur sebuah desa padi, My Lai, yang diduduki 400 orang. Hampir semua mereka tua, muda dan kanak-kanak dibunuh. Ia menjadi satu skandal besar. Askar-askar itu dan ketuanya Leftenan Muda Calley diadili dan dihukum.

Tragedi itu berlaku ketika 500,000 orang askar AS bertempur di Vietnam di bawah Jeneral Westmoreland. Dengan kepercayaan jumlah askar sebanyak itu mampu mengalahkan askar Vietnam Utara dan Vietcong, ia terbukti meleset.

Dalam pada itu, dengan stesen TV yang berjumlah begitu banyak di AS menyiarkan hidup-hidup tiap-tiap malam pertempuran dan pengorbanan yang meluas, apalagi lebih kurang 50,000 orang askar AS sudah terkorban, tercetuslah demonstrasi di kampus-kampus universiti di seluruh AS dan di hadapan Rumah Putih, kediaman Presiden AS.

Kemuncaknya berlaku di kampus Universiti Kent di Ohio, AS, apabila pelajar-pelajar digempur polis yang mengorbankan beberapa orang pelajar, menjadi berita besar akhbar, majalah, TV dan radio di seluruh dunia.

Apabila kejijikan itu ditambah dengan gambar Jeneral Lo-An dari Vietnam Selatan menembak kepala seorang suspek dari jarak dekat di tengah kota Saigon, makin bersemaraklah rasa benci terhadap perang berkenaan di segenap lapisan rakyat AS. Justeru AS hilang daya untuk terus berjuang.

Aksi penamat Vietnam Utara dan Vietcong berupa rempuhan kereta kebal ke pintu besar istana Presiden Vietnam Selatan sebelum Presidennya menyerah diri dengan segala sebab akibatnya pada 1975.

Kesan buruk yang kita terima di Malaysia ialah terdamparnya pelarian-pelarian Vietnam beberapa tahun selepas perang itu berakhir, sejak 1975 hingga 1980. Bot demi bot mendarat di Pantai Timur antaranya pulau-pulau di Terengganu dan kampung-kampung nelayan di Pahang.

Kem-kem kecil, besar didirikan di tepi pantai. Tidak cukup di situ, dibuat kem besar di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Semua sekali jumlah mereka ialah puluhan ribu.

Kini Vietnam dan AS bersahabat baik. Banyak pertolongan dihulurkan AS kepada Vietnam dalam ekonomi dan lapangan lain, seolah-olah seorang yang pernah gah dan angkuh sedar kesilapannya dan mahu mengambil hati orang yang dikutuk.

Alangkah salahnya anggapan AS pada suatu masa dahulu bahawa sekiranya Vietnam jatuh ke tangan komunis maka seluruh Asia Tenggara akan turut jatuh bagaikan tumbangnya buah domino yang berbaris.

Walhal, mereka bersatu di bawah ideologi komunis menjatuhkan penjajah Perancis, berkemuncakkan perang Dien Bien Phu 1954, sebelum AS pula yang menyentel.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas ialah Ahli Kabinet dan Presiden Senat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini