AS patut anut nilai Paul Revere - Utusan Malaysia

AS patut anut nilai Paul Revere

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT AS bersikap seperti “anjing polis” yang bengkeng menjaga persekitaran memberikan gambaran bagaimana negara superpower ini mengawasi dunia. Negara yang tidak diperkenannya akan diancam dengan pelbagai tindakan.

Giginya diseringai kepada Iran dan Venezuela dan tidak kurang juga Russia serta lain-lain. Dunia tahu tempat yang didodoikannya antaranya ialah Israel.

Cubalah ganggunya, AS atau Trump cepat-cepat menuding jari dan melaung ‘Jangan!’. Menantunya Jared Kushner, seorang Yahudi pemastatutin AS ialah penasihat pentingnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mana-mana negara di bumi Arab dan sekitarnya yang tidak “ngam” dengan Israel pasti menerima libasan ekor pari dari AS biarpun secara halus dan tidak nampak.

Apabila Mesir memilih Muhammad Morsi dari gerakan Ikhwanul Muslimin menjadi Presiden, AS dan sekutunya melakukan pelbagai helah, termasuk memanipulasi media, membawa penunjuk perasaan ke jalanan hingga askar, polis tidak terkawal.

Jeneral nombor satu Sisi lantas mengeluarkan amaran kepada Presiden Morsi, jika keadaan terus tidak terkawal, tentera akan bertindak. Pastinya tidak boleh. Itu tugas tentera dan polis.

Jenenal Sisi terus merebut kuasa hingga sekarang melalui langkah-langkah paling terancang seperti pilihan raya terpimpin demi mewaja pemerintahannya.

Dari Washington, kita diberitahu melalui siratan media bahawa AS kononnya dukacita rebutan kuasa berlaku Mesir. Jeneral Sisi dikatakan tidak patut namun kedua belah mata AS ditutup.

Sumbangan dua bilion dolar setahun dinaikkan lagi. Bukan itu sahaja. Jeneral Sisi dirancangkan berbaik dengan Rusia, seteru nombor satu AS sebagai tanda marah kepada AS, tapi segalanya itu hanya sandiwara.

Mesir terus berdakap mesra dengan Arab Saudi dalam satu barisan dengan Israel menentang Syria, Iran termasuk Turki dan Yemen dengan menerima anggukan dari AS.

Pendek kata, negara-negara pro Israel dan Arab Saudi di satu pihak, anti Israel dan Saudi di pihak lain.

Segala perjuangan anak watan diperlekehkan dengan pengecapan teroris jahanam yang harus dihapuskan.

Ini amat bertentangan dengan semangat AS ketika berperang menentang kolonial British sebelum mencapai kemerdekaan pada 1776. Dari perjuangan itu yang berpusat di Boston terdapat putera watan Paul Revere.

Tidaklah jelas apakah Revere itu nama asal keluarganya atau nama sanjungan. Revere bererti taksub kepada tanah air atau agama. Di Boston terdapat figura Revere sebagai wira.

Beliau dikatakan menunggang kuda di larut malam memberitahu orang ramai bersiap sedia kerana pasukan British sedang mara. Itu berlaku pada 1775, setahun sebelum AS merdeka pada 1776.

Anehnya kolonial Inggeris dipanggil British sedangkan mereka kebanyakannya Inggeris, sedikit-sedikit orang Scot dan Irish.

Soviet Union sudah kira-kira 30 tahun merudum dan kini hanya tinggal Rusia, komponen dominan Soviet.

Ia bukan komunis lagi. Ia masih bertatih mengharung lautan demokrasi kapitalis.

Kapitalisme bererti kekuatan diukur dengan angka wang, pemangkin kuasa ekonomi dan ketenteraan.

Di Rusia tindakan ke arah itu menyerlahkan tindakan kasar, melahirkan bilionair rakus yang tidak disukai AS dan negara-negara kapitalis lain berpengalaman luas.

Ketidaksukaan itu dirangkumkan Presiden Putin dan orang-orangnya sekali.

Apabila Hillary Clinton kalah dalam PRU Presiden AS 2016, Rusia dikatakan campurtangan dalam kekalahan itu. Pihak Rusia berkata, AS yang mula-mula campurtangan dalam PRU Rusia.

Dalam dunia terbuka kini, internet bermaharajalela. Jadi jika Hillary mengganggu Rusia ketika menjadi Setiausaha Negara AS di bawah Presiden Obama, Rusia pula bertindak balas mengganggu Hillary ketika bertanding hendak jadi Presiden AS.

Berbalik kepada Paul Revere, anak watan nombor satu AS. Sepatutnya AS memanjangkan nilai kewatanan itu kepada seluruh dunia, sayang kepada tanah air.

Sanggup berkorban untuk nusa. Jaga keselamatan bumi dipijak dan langit dijunjung.

Namun dasar luar AS berpangku kepada kepentingan dirinya. Baik untuk dirinya dianggap baik juga kepada dunia.

Bagi sesiapa yang wajar, sikap begitu adalah sikap hodoh. Akhirulkalam, Malaysia pun tidak selamat daripada AS.

Waima apa perlembagaan atau piagam yang kita anuti atau tidak anuti, jika AS mahu, AS akan dapat kehendaknya.

AS persetankan PBB. Lihat saja kes Iraq dan kini Iran dan Venezuela serta banyak lagi sebagai contoh.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini