LONDON 8 Mei – Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah bergurau James Milner agar membatalkan percutiannya selepas Liverpool melakar kebangkitan menakjubkan ke atas Barcelona di Anfield, hari ini.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu pada awalnya dijangka bakal menguburkan diri di Anfield memandangkan Barcelona memperoleh bekalan selesa 3-0 di Camp Nou minggu lalu.
Liverpool bagaimanapun berjaya menjaringkan empat gol tanpa balas untuk mengesahkan tempat ke final Liga Juara-Juara pada 1 Jun ini.
Salah diketepikan dalam perlawanan timbal balik itu selepas mengalami kecederaan sewaktu membantu Liverpool menang 3-2 ke atas Newcastle dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Bagaimanapun penjaring terbanyak Liverpool musim ini tetap hadir ke Anfield bagi menyuntik semangat pada malam itu menentang juara Sepanyol.
Salah turut menyertai skuad Liverpool dan kakitangan jurulatih di atas padang untuk meraikan kejayaan di hadapan penyokong mereka selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun terdapat satu video rasmi Liverpool sewaktu di bilik persalinan menyaksikan Salah bergurau Milner dengan bertanyakan tentang percutian.
“Bukankah awak sudah merancang untuk bercuti?” soal Salah kepada Milner.
Bagaimanapun pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi itu membalasnya: “Belum lagi”.
Mungkin Salah dan Milner boleh bercuti di Madrid selepas tamat perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal Jun nanti.- AGENSI











