Apa khabar Pulau Mabul? - Utusan Malaysia

Apa khabar Pulau Mabul?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa tahun dahulu saya sering juga ke Semporna, Sabah, atas tujuan tugasan. Boleh dikatakan pulau-pulau sekitarnya memiliki perairan yang begitu cantik, pasir pantainya putih, berair jernih kebiru-biruan dan dihuni ribuan hidupan marin.

Semporna merupakan destinasi sukan selam skuba yang ‘sempurna’, popular tidak hanya di Malaysia malah peminat sukan tersebut dari seluruh dunia. Pulau Mataking, Pulau Sipadan, Pulau Bohey Dulang, Pulau Sibuan, Pulau Tetagan, Pulau Timba-Timba, Pulau Mabul dan banyak lagi sering menjadi tumpuan peminat sukan tersebut.

Pulau-pulau berkenaan antara destinasi wajib untuk dilawati jika ke Semporna, sangat cantik pun begitu ada perkara yang merunsingkan kebanyakan pengusaha calet dan operator sukan skuba di sana. Pulau-pulau tersebut sentiasa dipenuhi sampah, antaranya Pulau Mabul.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan sahaja sampah dari laut yang hanyut di pantainya, malah sampah daripada penduduk sekitar yang digelar sebagai Bajau Laut (Sea Gipsy). Mereka ini rata-rata memiliki kehidupan agak serba kekurangan.

Dalam usaha menyelesaikan kemelut sampah sarap tersebut pelbagai inisiatif diambil oleh kerajaan, orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membetulkan keadaan dan dicatatkan hampir 10 tan sampah telah dikeluarkan dari Pulau Mabul sahaja.

Mungkin kerana akses untuk ke darat hanyalah bergantung kepada sampan dan bot, soal mahu dibuang sampah-sampah tersebut ke daratan bukanlah utama.

Perkara sama turut dikongsi kebanyakan operator calet di sana, mereka akui memerlukan perjalanan bot khas semata-mata untuk membawa sampah keluar dari pulau ke darat.

Bagi yang tinggal di situ, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, duit untuk mengisi minyak bot untuk menghantar sampah lebih baik digunakan untuk mengisi perut keluarga.

Isu lambakan sampah di pantai bukan sahaja berlaku di Pulau Mabul dan sekitarnya, kebetulan kerana pulau-pulau itu popular dan dilawati ramai pelancong, menjadi tumpuan, jadi isu itu dibangkitkan.

Bagaimana dengan pulau-pulau seluruh negara kurang popular. Tiada siapa peduli. Pernah seorang penyelidik mengkhabarkan hampir semua pantai mengalami masalah sama. Sampah sentiasa memenuhi permukaan pantai.

Mahu disalahkan penduduk sekitar sepenuhnya tidak boleh juga kerana adakala sampah-sampah tersebut hanyut dari laut lepas, pantai hanya menerimanya tanpa reda.

Dicatatkan hampir 13 juta tan plastik dibuang ke laut setiap tahun dan 90 peratus plastik tersebut berasal dari sungai-sungai yang mengalir ke dalamnya. Pastinya jajaran sungai-sungai itu melalui penempatan manusia.

Sisa plastik di laut ini bukanlah isu baharu, tetapi bagai tiada penyelesaian, penggunaan plastik yang terlalu tinggi di seluruh dunia memungkinkan isu ini tidak pernah selesai.

Dicatatkan 20 negara di dunia yang memiliki plastik di laut tertinggi, negara-negara itu termasuk Filipina, Vietnam, Sri Lanka, Thailand, Mesir, Nigeria, Indonesia, Bangladesh dan Malaysia. Sebagai sebuah negara membangun, kita juga boleh membuat perubahan besar dalam menawarkan solusi kepada isu tersebut, namun haruslah bertindak segera.

Pulau Mabul antara contoh di sebalik ratusan pulau yang terdapat dalam negara, sangat cantik namun ‘dinodai’ sampah hasil tangan-tangan manusia, apa khabarnya pulau itu agaknya kini, sudah bersihkah atau masih seperti dahulu?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini