Al-Quran penawar buat penghuni penjara - Utusan Malaysia

Al-Quran penawar buat penghuni penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELARI dengan hasrat mengembalikan insan ‘tersalah langkah’ ke jalan kebenaran, Jabatan Penjara Malaysia menyambut baik penganjuran #QuranHour yang diadakan setiap tahun bagi mendekatkan diri umat Islam dengan kitab suci al-Quran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, penganjuran #QuranHour dilihat selari dengan Program Pembangunan Insan (PPI) yang dijalankan oleh pihak penjara bagi membentuk sahsiah dan membina prinsip hidup penghuni penjara agar dapat kembali ke pangkuan masyarakat dengan penerimaan yang baik.

Katanya, al-Quran terbukti mampu menjadi penawar terbaik kepada hati yang keras, malah berupaya membimbing manusia ke jalan kebenaran dengan panduan sesuai untuk digunakan sepanjang zaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah sejak PPI dilaksanakan dan penglibatan Jabatan Penjara Malaysia dengan #QuranHour termasuk menubuhkan Rumah Ngaji dalam penjara, kesan positif telah nampak dalam kalangan penghuni penjara, malah hasil penekanan pendidikan agama menyaksikan bekas banduan yang kembali ke penjara mencatat penurunan.

“Jika pada era 90-an menyaksikan jumlah bekas banduan yang kembali semula ke penjara sekitar 30 peratus, namun kadar tersebut mencatat pengurangan sehingga 10 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Kita di Jabatan Penjara Malaysia hanya berusaha sebaik mungkin dan perkara selainnya sekadar menjadi asbab kepada kejayaan kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Program World#QuranHour dijadualkan berlangsung hari ini di seluruh dunia dan seperti tahun sebelumnya, pelbagai institusi termasuk jabatan kerajaan bersama menjayakan aktiviti membaca al-Quran selama satu jam secara serentak itu.

Bagi merealisasikan program tersebut, lebih 1,000 kakitangan Jabatan Penjara Malaysia dan penghuninya bakal turut menjayakan World#QuranHour dengan berinteraksi bersama al-Quran pada waktu ditetapkan.

RUMAH NGAJI DALAM PENJARA

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, terdapat 10 buah Rumah Ngaji telah dibangunkan dalam penjara di seluruh negara sejak 2014 menerusi kerjasama baik bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan tajaan pihak luar.

Menurutnya, hasil kerjasama dan tajaan tersebut, sebanyak 10 daripada 38 buah penjara di Malaysia mempunyai kemudahan Rumah Ngaji sekali gus membolehkan aktiviti talaqi, tadarus, tadabbur dan menghafaz al-Quran dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Katanya, semua aktiviti di Rumah Ngaji menambah baik dengan program sedia ada yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia seperti Program Halaqah, Tafakur Fiddin serta Fitrah Suci yang turut dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi negara.

“Dalam penjara kita juga ada melaksanakan program khusus dan aktiviti keagamaan kepada penghuni di sini seperti program zikir, tazkirah, solat berjemaah, baca al-Quran secara berkumpulan, menganjurkan kelas pengajian dalam bidang akidah, syariah dan tafsir bagi mendekatkan mereka dengan kitab suci.

“Kita mahu menggalakkan mereka untuk lebih mendekati al-Quran sebagai panduan hidup, supaya apabila mereka keluar nanti akan menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, agama dan negara. Bukan sekadar boleh membaca al-Quran, malah kita juga berharap mereka dapat memahami isi kandungan kitab suci itu sekali gus mengamalkannya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menganjurkan tilawah dan hafazan al-Quran di peringkat penjara seluruh Malaysia.

Apa yang menarik tambahnya, hasil usaha berterusan itu menyaksikan ada penghuni penjara yang mulanya langsung tidak mengenal al-Quran telah berjaya khatam sepenuhnya, malah ada yang telah mahir dilatih menjadi mentor kepada mereka yang baru mengenal al-Quran.

‘NAIK PANGKAT PENJARA’

Jelasnya, sistem di dalam penjara menyaksikan penghuninya untuk ‘naik pangkat penjara’ dan mereka yang mencapai markah 75 peratus ke atas boleh menerima keistimewaan tertentu termasuk mempunyai akses pergerakan lebih bebas.

Untuk mencapai markah tersebut katanya, mereka akan dinilai oleh jawatankuasa penilai dari PPI yang melibatkan aktiviti keagamaan, tingkah laku serta tahap kebersihan.

Selain itu menurutnya, Bahagian Agama dan Kaunseling turut ditubuhkan pada April tahun lalu bagi memberi latihan kepada kakitangan baru selain menyelit modul-modul terbaik dalam memberi bimbingan kepada penghuni penjara.

Kata Zulkifli, penubuhan bahagian tersebut dan mengambil tugas yang dilaksanakan oleh Bahagian Pengurusan Banduan diharap mampu memantapkan lagi usaha Jabatan Penjara Malaysia membimbing insan-insan yang telah melakukan kesilapan sebelum ini ke jalan kebenaran.

Selain itu katanya, bagi memastikan kumpulan bekas banduan tidak mengulangi kesalahan dan jenayah lalu, pelbagai usaha dirancang bagi memastikan mereka mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan.

Menurutnya, selain menyediakan bengkel dan latihan semasa dalam tempoh tahanan, Jabatan Penjara Malaysia turut melakukan kerjasama bersama syarikat luar bagi menerima bekas banduan sebagai pekerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini