Al-I’tisam berbakti di Kemboja - Utusan Malaysia

Al-I’tisam berbakti di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN masyarakat Melayu Champa di Kemboja yang masih berada pada tahap kemiskinan sering mengundang simpati terutama masyarakat Islam di negara ini.

Pelbagai bantuan seperti makanan, pakaian, dana baik pulih masjid dan sebagainya dihulurkan kepada etnik minoriti negara tersebut.

Hakikatnya bantuan-bantuan itu bersifat sementara, sekadar memberi keselesaan dan kelegaan dalam tempoh yang singkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Komuniti tersebut sebaliknya memerlukan ‘suntikan’ lain bagi membolehkan mereka berdiri dengan kaki sendiri sekali gus meningkatkan taraf ekonomi kepada tahap lebih baik.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Melayu Campa, Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam) mengambil inisiatif menubuhkan pusat vokasional di Kampung Trabaeng Chuk yang terletak di wilayah Thom.

Menurut Pengurus Projek Cambodia Care Al-I’tisam, Maziiana Mohd. Azhari, pihaknya telah menjalankan beberapa program vokasional untuk masyarakat Muslim Kemboja seperti kelas komputer dan bengkel jahitan.

Bagi kelas komputer, pelaksanaannya telah memasuki empat tahun dengan menumpang di sebuah sekolah di Kampung Trabaeng Chuk.

“Kelas ini beroperasi selama lima hari dengan dua sesi latihan melibatkan seramai 12 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun.

“Tempoh sesi latihan mengambil masa selama tiga bulan dengan pemantauan sukatan pelajaran oleh pihak pengurusan Al-I’tisam sendiri.

“Tenaga pengajar pula dilantik dalam kalangan anak muda Kemboja yang mempunyai latar pendidikan berkaitan sistem perkomputeran,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.

Bengkel jahitan pula beroperasi di Kampung Speu, wilayah Thom dengan menyewa sebuah rumah penduduk di situ.

Antara yang diajarkan dalam bengkel menggunakan tenaga pengajar tempatan itu adalah teknik jahitan baju Melayu serta jubah lelaki dan wanita.

Maziiana berkata, pihaknya kini dalam usaha membina bangunan sendiri sebagai pusat bagi program-program vokasional tersebut.

Pembinaan pusat itu yang terletak di Kampung Trabaeng Chuk masih dalam fasa pertama iaitu di peringkat membaiki jalan masuk utama, menambak tanah bangunan dan membina jambatan.

Bagaimanapun, untuk pembinaan fasa kedua dan seterusnya, progresnya mungkin agak perlahan kerana masih kekurangan dana.

“Apabila pusat ini siap, kami akan menambah beberapa program latihan lain seperti pembuatan produk makanan halal serta pelancongan dan hospitaliti.

“Menjadi harapan kami agar pembinaan pusat vokasional ini dapat dibangunkan dengan segera sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak Muslim Kemboja mendapatkan pendidikan dan kemahiran secara formal.

“Sehubungan itu, kami berharap agar orang ramai terutama masyarakat Islam di negara ini dapat bersama-sama memberi sumbangan agar taraf hidup saudara kita di Kemboja dapat ditingkatkan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek pembangunan pusat vokasional tersebut boleh hubungi Al-I’tisam menerusi aplikasi WhatsApp di talian +60162051880 atau layari Facebook Cambodia Care: Al-I’tisam Relief Program.

Sumbangan untuk pembangunan pusat vokasional masyarakat Melayu Champa di Kemboja boleh dibuat kepada Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam) melalui

INFO

Akaun bank:

1. CIMB Bank: 8600 633 583
2. Maybank: 5624 7814 1589
3. BIMB : 1203 8010 1147 31

  • Sumbangan secara online boleh dibuat di www.arp.org.my/donate.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini