KUALA LUMPUR 8 Mei – Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan Akta Pendidikan Tinggi baharu disifatkan sebagai cara untuk menghapuskan kebebasan bersuara di universiti.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana undang-undang yang dicadangkan itu boleh menjadi satu lagi Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang bersifat samar berdasarkan sikap PH yang kerap membuat pusingan-U dalam sesuatu perkara.
“Kerajaan PH sebelum ini telah memberi jaminan kepada rakyat bahawa AUKU akan dimansuhkan pada tahun 2020.
“Walaupun pindaan telah dilakukan pada Disember lalu untuk membolehkan pelajar universiti terlibat dalam kegiatan politik di kampus namun gangguan politik dan tindakan tatatertib terhadap pelajar yang aktif berpolitik masih berlaku.
“Sebagai contoh program bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Februari lalu turut diganggu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya berhasrat mewujudkan Akta Pendidikan Tinggi baharu bagi menghapuskan halangan kebebasan bersuara mahasiswa.
Katanya lagi, akta baharu itu akan menggabungkan akta-akta berkaitan pendidikan tinggi iaitu AUKU, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 serta akta-akta lain yang dilihat relevan. – UTUSAN ONLINE











