KUALA LUMPUR 6 Mei – AirAsia telah diiktiraf sebagai satu daripada jenama majikan terbaik dalam negara di Anugerah Jenama Majikan Terbaik Malaysia 2019.
Pemilihan dibuat sebuah panel bebas diketuai oleh Bekas Dekan Institut Pengurusan India (IIM) Ahmedabad, Dr. Indira Parikh dan AirAsia muncul sebagai jenama majikan terbaik di peringkat rantau ini, dipacu faedah kakitangannya dan inisiatif keseimbangan kerja dan kehidupan yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Manusia & Budaya AirAsia, Varun Bhatia berkata, di AirAsia, pihaknya meletakkan manusia terlebih dahulu bermula dengan Allstars (kakitangan) kumpulan.
“Kami percaya jika kakitangan kami diberi layanan yang baik, mereka juga akan melayan tetamu dengan baik.
“Mewujudkan persekitaran kerja terbuka yang memupuk pertumbuhan secara peribadi dan profesional, memberi ganjaran untuk inovasi serta menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan menjadi teras kepada budaya kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anugerah tersebut anjuran Institut Penjenamaan Majikan (EBI), sebuah organisasi yang menghubungkan pemimpin kanan dalam sektor sumber manusia untuk berkongsi amalan terbaik global. – UTUSAN ONLINE











