KUALA LUMPUR – Jenazah pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din al-Hafiz dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini selepas solat Asar hari ini.
Menurut anak sulung kepada Allahyarham, Mohamad Yusri, 45, berkata, jenazah akan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda di sini selepas solat Zuhur untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.
“Atas permintaan keluarga di Perlis yang mahu menziarahi Allahyarham, kami sepakat untuk mengebumikan selepas solat Asar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini tadi.
Allahyarham Abu Hassan, 73, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas rebah dan tidak sedarkan diri selesai menunaikan solat Subuh sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi tadi.
Allahyarham merupakan bekas imam di Masjid Negara dan pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa orang Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin,66, dan tujuh orang anak serta 13 cucu.
Sementara itu, pekarangan kediaman Allahyarham di Kampung Batu Muda terus dipenuhi dengan kehadiran orang ramai yang mahu menziarahi jenazah. – K! ONLINE











