PULAU PINANG 28 Mei – Seramai lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas 164 pertuduhan rasuah membabitkan nilai suapan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM135,810.
Dalam prosiding yang berlangsung lebih empat jam itu, mereka didakwa menerima rasuah berkenaan daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.
Tertuduh dari JPJ negeri adalah berjawatan Pemeriksa Kereta Motor iaitu Muhamad Shukri Ishak, 36, berdepan dengan 16 pertuduhan; Noorzaimi Effendi Salleh, 36, (18 pertuduhan) dan Khairol Naim Mat Desa, 34, (13 pertuduhan).
Turut didakwa ialah Pembantu Penguatkuasa, Muhammad Firdaus Jaafar, 46, (33 pertuduhan); Pirdaus Abd. Karim, 34 (13 pertuduhan); M. Muniandy, 45, (15 pertuduhan); Katmi Azmi, 35, (11 pertuduhan); Mohd. Fairdaus Ishak, 35, (15 pertuduhan) manakala seorang bekas Pembantu Penguatkuasa SPAD Wilayah Utara yang didakwa ialah Mohd. Noor Fadzny Noordin, 32, (30 pertuduhan).
Mereka memohon dibicarakan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Nizam Zakaria.
Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn. Bhd., Ooi Cheng Keat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn. Bhd.) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pelbagai buah bank di Bukit Mertajam di sini, antara 16 Januari 2015 hingga 20 Ogos 2018.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.
Kesemua mereka turut berdepan dengan 164 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama
bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).
Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM11,000 hingga RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Nizam kemudiannya menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan kes berkenaan.
Dua tertuduh iaitu Mohd. Noor Fadzny dan Muhamad Syukri tidak diwakili peguam manakala enam lagi diwakili peguam Ashwinder Kaur.
Seorang lagi tertuduh iaitu Muniandy diwakili K. Mahendren.
Difahamkan, selepas pendakwaan sembilan tertuduh itu, terdapat beberapa lagi siri pendakwaan membabitkan anggota JPJ atas kesalahan menerima rasuah. – UTUSAN ONLINE











