KULAI 4 Mei – Sebanyak 45 buah kenderaan dikenakan saman kerana meletakkan kenderaan di luar petak parkir dan menghalang lalu lintas dalam Ops Halangan yang dijalankan di dua lokasi berasingan, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, bertindak atas aduan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menjalankan Ops Halangan di Pekan Bukit Batu dan Jalan Kenanga, Indahpura.
“Di Pekan Batu, sebanyak lapan lori telah dikeluarkan saman POL 170A kerana meletakkan kenderaan di luar kotak parkir dengan alasan berhenti rehat untuk sementara.
“Sementara di Jalan Kenanga sebanyak 37 saman dikeluarkan terhadap 29 buah kereta, kenderaan pelbagai guna (5) dan pacuan empat roda (4) yang menghalang laluan dengan alasan pemandu gagal mencari tempat meletakkan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beng Yeow berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang pada masa depan.
“Polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan jangan meletakkan kenderaan pada tempat yang tidak sepatutnya hingga menghalang lalu lintas,” katanya. – UTUSAN ONLINE











