40 pelajar sekolah 'tidur' di surau jalani ibadah - Utusan Malaysia

40 pelajar sekolah ‘tidur’ di surau jalani ibadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Mei – Seramai 40 pelajar sekolah ‘tidur’ di surau bagi mengikuti aktiviti Jom Bersahur yang diadakan antaranya bertadarus Al-Quran, qiamullail dan melakukan solat-solat sunat sebelum bersahur serta menikmati hidangan di dalam talam, sepanjang bulan Ramadan.

Program anjuran Surau At-Taqwa, Taman Sentul Utama di sini mendapat kerjasama IkramTeens Batu yang disertai oleh pelajar-pelajar lelaki dari Sekolah Kebangsaan Sentul, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama dan SMK Bandar Baru Sentul.

Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Kawasan Batu, Wan Mohd. Zukri Che Mat Zin berkata, surau yang kerap dikunjungi oleh golongan dewasa kini bertukar meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar berkenaan.

“Aktiviti sebegini adalah pertama kali diadakan di Surau At-Taqwa ini. Saya berharap aktiviti ini akan diperbanyakkan lagi bagi menghidupkan bulan Ramadan khususnya program yang melibatkan anak-anak muda,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Surau At-Taqwa, Mohd. Zaimi berkata, dia bersyukur sejak hebahan program Jom Bersahur dibuat sebelum bulan Ramadan, hampir setiap hari peserta bertanya mengenai program ini.

“Selain dapat menarik minat anak-anak muda mendekati surau, secara tidak langsung dapat mengajak ibu bapa mereka bersama-sama dalam program ini terutamanya qiamulail,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×