283 samseng jalanan ditahan polis - Utusan Malaysia

283 samseng jalanan ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Tindakan 283 penunggang motosikal yang menunggang laju dan berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan Ramadan di Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping di sini semalam.

Operasi yang bermula pukul 3 petang semalam sehingga 12 tengah malam itu disertai Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) Manjung semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, operasi tersebut merupakan hasil risikan operasi selama seminggu di tapak projek lebuh raya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebanyak 283 individu dan 277 motosikal diperiksa dalam operasi itu dengan 374 saman dikeluarkan serta 11 motosikal disita.

“Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan, penunggang bawah umur serta pelbagai kesalahan trafik lain,” katanya.

Menurut Muhammad Hanif, walaupun lebuh raya itu masih lagi belum dibuka namun, mereka sudah ‘merasmikannya’ terlebih dahulu.

“Mereka mengambil kesempatan menjadikan lebuh raya yang masih belum dibuka sebagai lokasi baharu mereka untuk aktiviti lumba haram sejak dua bulan lalu.

“Sebelum ini lokasi di Jalan Ayer Tawar-Lumut berhampiran sebuah pusat boling di Seri Manjung menjadi tumpuan mereka untuk merempit. Bagaimanapun, lokasi itu sering digempur pihak polis membuatkan mereka mencari lokasi baharu,” katanya. 

Katanya, oleh sebab itu mereka beralih arah dan memilih WCE sebagai lokasi baru memandangkan ia agak tersorok dari jalan utama dan masil belum dibuka kepada orang awam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini