24,594 pil ekstasi ditemukan dalam bungkusan ‘coklat’ - Utusan Malaysia

24,594 pil ekstasi ditemukan dalam bungkusan ‘coklat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mei – Sebanyak 24,594 pil ekstasi dalam bungkusan ‘coklat’ dirampas menerusi pemeriksaan kastam di Pejabat Pos Laju Miri, Sarawak, semalam.

Sebanyak 24,594 pil ekstasi dalam bungkusan coklat dirampas menerusi pemeriksaan kastam di Pejabat Pos Laju Miri, Sarawak, semalam.-UTUSAN ONLINE/GAMBAR IHSAN KASTAM

Bungkusan berkenaan dirampas daripada seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ketika suspek mengambil bungkusan tersebut pada pukul 9.45 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, bungkusan tersebut diisytiharkan mengandungi coklat namun siasatan mendapati bungkusan itu mengandungi dadah yang cuba diseludup masuk ke negeri ini.

“Hasil siasatan lanjut, nama penerima yang tertera pada bungkusan tersebut adalah seorang wanita dan Cawangan Narkotik Kastam Sarawak kini sedang giat menggerakkan operasi bagi mengesan dan menahan pemilik sebenar bungkusan itu.

“Penahanan lelaki itu turut membawa kepada penemuan 30 peket serbuk kristal disyaki ketamin seberat 26.88 gram yang disembunyikan dalam kereta yang digunakannya. Nilai rampasan dadah dan kenderaan suspek mencecah RM1.27 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sharifah Halimah, berdasarkan risikan awal ke atas alamat rumah yang digunakan mendapati rumah berkenaan didiami oleh ramai penghuni kerana terdapat banyak kenderaan di hadapan rumah tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan premis tersebut dijadikan pusat pembungkusan bagi memasarkan dadah untuk seluruh Sarawak dan Brunei.

“Siasatan masih berjalan bagi mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini