206 pelajar, sekolah terima anugerah SGSP - Utusan Malaysia

206 pelajar, sekolah terima anugerah SGSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 6 Mei – Sebanyak 206 pelajar dan sekolah dari seluruh Selangor menerima Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk tahun ini selain membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM295,400 keseluruhan.

Mereka merupakan pelajar dan sekolah terbaik yang berjaya meningkatkan simpanan dan penyertaan ahli SGSP di negeri ini.

Pengarah Negeri BSN Selangor, Saifullizan Mohd. Said berkata, pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan purata simpanan sekolah sepanjang tahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga akhir tahun lalu, SGSP menerima penyertaan cukup memberangsangkan daripada para pelajar dan sekolah. Selain itu, lebih 8,000 buah sekolah menyertai SGSP pada tahun ini.

“Jumlah ini adalah 79 peratus daripada jumlah keseluruhan 10,180 sekolah di Malaysia yang menyertai program SGSP. Lebih membanggakan, sebanyak 1,270 daripada angka tersebut merupakan sekolah angkat BSN.

“Sehingga Disember 2018, jumlah baki simpanan para pelajar ini mencapai sehingga lebih RM410 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian anugerah tersebut di sini, baru-baru ini.

Anugerah dan hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Khairul Anuar. 
SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan di mana penyertaannya terbuka kepada para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah serta pentadbiran sekolah.

Habis….

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini