JOHOR BAHRU 9 Mei – Kejohanan Amal Kereta Lasak 4×4 Tropicana Danga Cove 2019 bermula di Tropicana Danga Cove, di sini sebentar tadi.
Kira-kira 100 kenderaan pacuan empat roda menyertai kejohanan amal tersebut yang berlangsung selama tiga hari.
Pelepasannya disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung.
Menurut Cai Tung, penganjuran program yang memasuki kali ke-15 itu membabitkan pelbagai persatuan dan individu di seluruh Malaysia termasuk Singapura, Hong Kong dan Thailand.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri amat mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan para peserta yang datang dari negara Singapura, Thailand, Hong Kong dan China. Selamat datang ke Johor.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kelab Johor Jaya 4×4 kerana telah berjaya mengadakan aktiviti amal ini yang bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada upacara pelepasan kejohanan itu.
Difahamkan, antara pengisian utama kejohanan yang berlansung selama tiga hari itu adalah mengumpul seberapa banyak dana bagi membeli mesin dialisis untuk disumbangkan kepada sebuah Pusat Dialisis di Johor Jaya.
Pada program berkenaan, Tropicana Corporation Berhad turut menyumbang sebanyak RM30,000 sebagai derma ikhlas bagi membantu kebajikan masyarakat setempat.
Cai Tung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya memberi jaminan sumbangan dikumpulkan dalam kejohanan amal itu akan disalurkan kepada badan-badan yang memerlukan bagi meningkatkan peluang mereka untuk menjalankan kehidupan lebih baik. – UTUSAN ONLINE











