KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 1,251 karton rokok seludup bernilai RM307,382 termasuk cukai selepas mengejar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) selama 10 minit di Jalan Banting-Klang,Telok Panglima Garang, semalam.
Kejadian pada pukul 5 petang itu menyebabkan anggota PPM terpaksa mengejar penyeludup sejauh kira-kira 7 kilometer.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Mohd. Khairuddin Jamal berkata, sepasukan anggota dan pegawai unit risikan PPM Pelabuhan Klang telah mengesan Toyota Alpahrd yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, penyeludup kemudiannya didapati telah memecut laju menghala ke arah Klang.
“Setelah mengejar selama 10 minit, MPV tersebut telah memasuki kawasan jalan tidak berturap di belakang Taman Bandar Bestari di sini sebelum menemui jalan mati.
“Pemandu MPV itu kemudiannya berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan menemui 1,251 karton rokok seludup pelbagai jenama seperti Luffman hijau, hitam dan Mild, Touro serta Pine Prime di ruang tempat duduk penumpang belakang.
Ujar Mohd. Khairuddin, nilai keseluruhan rokok dan Alpahrd yang dirampas pihaknya dianggarkan RM372,382.82
“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya. – K!ONLINE











