KOTA TINGGI 2 Mei – Seorang warga emas maut selepas bot yang dinaiki bersama-sama enam rakannya dipukul ribut semasa memancing di perairan Pulau Tinggi, dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian tersebut, Mustafa Harun, 64, yang merupakan tekong bot bersama-sama rakannya pergi memancing pada pukul 2.15 pagi dengan menaiki sebuah bot sebelum berlaku ribut pada pukul 2.40 pagi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, keadaan tersebut mengakibatkan bot tersebut terbalik dan menyebabkan semua mangsa yang berusia antara 30 hingga 64 tahun terapung-apung di laut.
“Mereka semuanya memakai jaket keselamatan. Akibat daripada keadaan cuaca yang sejuk seorang daripadanya yang berusia 64 tahun mengalami kesesakan nafas ketika berapung dan meninggal dunia pada pukul 4 pagi tadi.
“Sebelum itu, kesemua tujuh mangsa bot terbalik itu telah keluar ke laut untuk memancing pada pukul 4.30 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, semua mangsa diselamatkan sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan tersebut pada pukul 7.30 pagi tadi dan membawa mereka ke jeti berhampiran. – UTUSAN ONLINE











