Zionis berterusan sekat hak Palestin - Utusan Malaysia

Zionis berterusan sekat hak Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA 3 April – Pemantau hak asasi manusia Euro-Me­diterranean (Euro-Med) dalam laporannya mengenai dokumen pencabulan rejim Zionis di Baitulmuqaddis mendedahkan senarai kekejaman Israel yang sentiasa mencabuli hak-hak penduduk Palestin.

Portal berita Wafa melaporkan, laporan bertajuk ‘Israel berterusan menyekat hak kebebasan beribadat bagi Muslim di Baitulmuqaddis’ menyatakan, dasar-dasar Zionis itu termasuk larangan memasuki dan beribadat di Masjid al-Aqsa selain hak untuk bersosial dan aktiviti politik.

“Tindakan yang selalu dilakukan Israel terhadap masyarakat Palestin seperti larangan memasuki Masjid al-Aqsa, tahanan rumah, hak untuk beribadat, meruntuhkan kediaman, hala­ngan mengadakan majlis keagamaan, serbuan malam dan tahanan tanpa waran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Contohnya, kejadian berlaku di kawasan ibadat Bab al-Rahma di pekarangan Masjid al-Aqsa menyaksikan Muslim sedang beribadat diserang dan menyekat kebebasan beragama,” jelas laporan tersebut.

Tambah laporan itu, penutupan Masjid al-Aqsa selama 12 jam berserta dengan testimoni dan gambar penduduk Islam yang diserang, ditahan malah dihalau kerana meminta Bab al-Rahma dibuka.

Sehubungan itu, masyarakat antarabangsa diseru untuk bersama menjalankan tanggungjawab terhadap Baitulmuqaddis dan populasi Palestin, melin­dungi mereka sebagai residen pada wilayah pendudukan mengikut resolusi Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Sementara itu, data Kementerian Kesihatan Palestin me­nunjukkan 270 orang terbunuh selepas terkena tembakan tentera Israel termasuk 52 kanak-kanak, enam wanita dan seorang warga emas.

Selain itu, 16,556 orang ce­dera termasuk 3,310 kanak-kanak dan 1,088 wanita sejak protes Great March of Return di sempadan Gaza pada 30 Mac tahun lepas hingga 30 Mac lalu.

Menurutnya, 551 orang yang cedera berada dalam kea­daan kritikal, sederhana (7,024 orang), cedera ringan (8,616 orang) dan tidak dikelaskan (365 orang).

Dalam perkembangan lain, bot tentera laut Israel menyem­burkan air busuk terhadap nelayan Palestin pada 12 batu nautika di perairan sentral Semenanjung Gaza semalam meskipun zon perikanan telah diperluaskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini