REMBAU 11 April – Pengundi muda diminta membuktikan bahawa mereka telah sedar dan tidak mahu lagi diperdaya Pakatan Harapan (PH) dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, Sabtu ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat merupakan pemimpin yang baik dan mesti menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
“Pengundi muda sama ada yang tinggal di luar atau di DUN ini mesti sedar. Dalam pilihan raya umum lalu, bertubi-tubi fitnah dilontarkan menyebabkan golongan muda terpedaya. Tapi selepas 11 bulan berbondong-bondong menyokong BN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra sempena PRK DUN Rantau di Taman Angsamas, Rantau di sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, beliau percaya sekiranya ada PRK atau pilihan raya negeri di mana-mana lokasi ketika ini sudah tentu golongan muda akan menolak PH.
“Kalau kerajaan hendak turunkan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun, buatlah. Kita yakin golongan muda akan bersama kita,” katanya.
Beliau turut meminta jentera parti dan pengundi di Rantau supaya istiqamah sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan Tok Mat yang merupakan Timbalan Presiden UMNO.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan PRK kali ini adalah maruah orang Rantau dan kemenangan BN dijangka membawa perubahan besar kepada politik negara dalam masa terdekat.
Terdahulu, Ahmad Zahid menunaikan solat Isyak di Masjid Kampung Bemban dan bertemu penduduk di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE









