KUALA LUMPUR 10 April – Tiada lagi kebenaran untuk warga Israel memasuki ke negara ini bagi tujuan menghadiri persidangan, mesyuarat dan menyertai program-program antarabangsa.
Pada tahun ini, hanya tiga warga berkenaan diberi kebenaran iaitu hanya berdasarkan urusan perhubungan perdagangan sedia ada.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sebarang perjalanan membabitkan Israel adalah dilarang dan hanya dibenarkan dengan kebenaran khas berdasarkan tujuan-tujuan tertentu.
Katanya, berikutan dasar negara berkenaan, pasport Malaysia tidak sah untuk perjalanan ke Israel dan kemasukan menggunakan passport Israel juga adalah dilarang.
“Kemasukan warga Israel ke negara ini atas pertimbangan kemasukan yang memberi manfaat kepada negara dari segi politik, ekonomi, teknologi, pendidikan, pertahanan, sosial dan pembuatan.
“Selain itu, kementerian juga menerima permohonan warga Malaysia untuk berkunjung ke Baitulmuqaddis yang perlu melalui kawalan keselamatan Israel sebelum tiba ke sana,” katanya sewaktu menjawab pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) yang bertanyakan jumlah kemasukan warga Israel ke negara ini mengikut tahun dan tujuan kemasukan.
Berdasarkan rekod kerajaan, seramai 105 warga Israel diberi kebenaran memasuki ke negara ini dari tahun 2016 hingga Mac lalu.
Pada 2016, seramai 33 warga Israel diberi kebenaran atas pertimbangan perdagangan sedia ada berkaitan syarikat multinasional (MNC) bagi menghadiri mesyuarat, memberi latihan kepada pekerja berkenaan kejuruteraan mikro cip.
Pada 2017 pula, seramai 35 orang diberi kebenaran di mana 18 orang memasuki Malaysia atas urusan hubungan perdagangan MNC sedia ada manakala 17 orang lagi diberikan kebenaran untuk menghadiri persidangan, mesyuarat dan program antarabangsa.
Pada 2018, seramai 34 warga Israel diberi kebenaran di mana 32 orang atas urusan perdagangan sedia ada manakala dua orang lagi dibenarkan bagi tujuan persidangan antarabangsa.-UTUSAN ONLINE










