KUALA LUMPUR 26 April – Kejutan berlaku dalam aksi Kumpulan A Siri Akhir FIH 2019 di apabila menyaksikan pasukan ranking 24, Wales tidak berdepan masalah menewaskan Kanada yang menghuni kedudukan 10 dunia, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Wales meraih kemenangan 3-1 ke atas Kanada.
Pemain Wales, Gareth Furlong berkata, kemenangan tersebut telah membangkitkan semangat mereka untuk meraih lebih banyak mata sepanjang aksi peringkat Kumpulan A.
“Ini adalah kemenangan yang amat bermakna buat pasukan dalam kejohanan ini.
“Keputusan sebegini membuatkan kami lebih bersemangat untuk mengharungi segala cabaran,” kata Furlong.
Dalam perlawanan tersebut Wales terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi James Carson pada minit ke-30 sebelum menambah gol kedua tiga minit selepas itu hasil pukulan Luke Hawker.
Kanada hanya mampu mendapatkan jaringan tunggal menerusi Iain Smythe pada minit ke-42 sebalum Wales mengesahkan kedudukan 3-1 menerusi Joseph Naughalty pada minit ke-57.
Selepas ini Wales dijadual menentang Belarus manakala Kanada akan bertemu Austria pada esok. – UTUSAN ONLINE











