VjQyZkBj
Oleh NUR HANANI AZMAN
KUALA LUMPUR 26 April
Kekurangan dasar perumahan secara keseluruhan termasuk ketiadaan peraturan tentang harga dalam pasaran utama menjadi punca kepada harga rumah yang tinggi.
Menurut Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS), antara faktor lain termasuk ketiadaan penilaian dan kaedah penilaian yang sebetulnya.
Katanya, dalam pasaran utama berbanding dengan pasaran sekunder, terdapat penemuan harga yang buruk. Orang ramai tidak tahu harga sebenar kerana pelbagai insentif dan rebat (sebanyak 20 hingga 30 peratus).
Jelasnya, harga sebenar disembunyikan daripada orang ramai dan hanya boleh diketahui apabila mereka bertindak untuk membeli sebuah rumah.
“Situasi ini menimbulkan masalah ketidakcekapan dalam pasaran perumahan yang menghalang harga rumah daripada dilaraskan ke arah nisbah median harga rumah yang lebih mampan dan telus berbanding pendapatan.
“PEPS justeru meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk segera membenarkan semua iklan di pasaran utama meletakkan bukan sahaja ‘harga utama’ tetapi harga sebenar supaya memudahkan pembeli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujar PEPS, insentif dan rebat mesti diberitahu secara terperinci dalam iklan dan risalah demi kepentingan ketelusan untuk orang awam membeli rumah dan membantu mewujudkan pasaran perumahan yang lebih cekap.
Katanya, pihak bank dan institusi kewangan telah melakukan kerja dengan baik melalui penilaian berasaskan pasaran yang betul untuk mencari harga dan bagi memberi pinjaman berdasarkan harga sebenar.
“Lebihan penawaran di pasaran tidak membantu tetapi urus niaga pasaran sekunder yang dibekalkan oleh penilai dan ejen boleh membantu,” katanya.
Laporan kajian kepada formulasi Dasar Perumahan Negara (2018-2025) oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang dibentangkan semalam mendapati tahap kemampuan membeli rumah tidak bertambah baik secara ketara dari 2002 hingga 2016 berpunca daripada penawaran perumahan yang tidak responsif kepada permintaan berkesan.
Pengarah Penyelidikan KRI, Dr. Suraya Ismail berkata, agenda perumahan yang komprehensif perlu mengurus sektor perumahan secara keseluruhan dengan mengakui bahawa rumah merupakan keperluan asas dan tapak permulaan bagi pengumpulan aset.
“Dasar yang hanya tertumpu sama ada kepada aspek kebajikan atau pengumpulan aset sahaja tidak mencukupi kerana mungkin mengakibatkan pengurusan ketidakseimbangan dan timbulnya masalah pengurusan sektor perumahan,” katanya.











